Home » » Pameran ‘seni coli’ di Pulau Pinang

Pameran ‘seni coli’ di Pulau Pinang

Written By Unknown on Saturday, 2 August 2014 | 17:11


Seorang artis seni visual berhasrat meningkatkan kedudukan wanita dalam masyarakat melalui karyanya yang menampilkan keazaman, kegigihan dan keyakinan mereka dalam melayari bahtera kehidupan.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Louise Low Seok Loo, 30, memanfaatkan daya kreativitinya melalui penggunaan 1,000 bra pelbagai warna sebagai karya seni untuk dipamerkan selama sebulan bersempena Festival Georgetown, yang dirasmikan semalam.
Pada mulanya, Louise, yang tergolong dalam senarai 10 artis seni visual wanita paling terkenal di Malaysia, berharap dapat menarik perhatian orang ramai terhadap misinya itu dengan mempamerkan seni bra pada kereta, motosikal, basikal, beca dan motosikal penjaja.
“Malangnya, ia merupakan suatu kesalahan memandu kenderaan berhias, tanpa permit khas. Saya akan mematuhi prosedur yang ditetapkan dan berusaha mendapatkan permit daripada polis,” kata artis kelahiran Kuala Lumpur ini kepada Bernama di sini hari ini.

Karya unik Louise itu kini dipamerkan di Hin Bus Depot Art Centre.
Louise berkata matlamatnya ialah untuk meneroka kepekaan serta pandangan lazim orang ramai terhadap bra, sambil mewujudkan standard baharu dalam memperagakan karya seni di Malaysia dan memperkenalkan seni kontemporari dalam pelbagai bentuk.

“Melalui pertentangan yang amat ketara ini, saya rasa ia akan mencabar praanggapan masyarakat umum tentang wanita. Ia juga mempersoalkan kedudukan sterotaip wanita dan mendorong mereka supaya memikirkan kembali peranan masing-masing dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, karya yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan itu, juga mampu mendidik masyarakat, khususnya generasi muda Cina, tentang kepercayaan karut.

Dalam budaya masyarakat Cina, pakaian dalam wanita dipercayai boleh membawa ‘sial’ sekiranya dipamerkan dengan sesuka hati.
Oktober lepas, Louise memperkenalkan karyanya bertajuk ‘Fatal Attraction-The Bra Shark’ bersempena kempen untuk menghentikan keganasan terhadap wanita, lapor Bernama.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger