Home » » Lagi kes samun wanita di halaman rumah

Lagi kes samun wanita di halaman rumah

Written By Unknown on Thursday, 28 August 2014 | 22:25


JERTIH - Selepas tidak berjaya meragut seorang warga emas di Jalan Tok Raja dekat Kampung Alor Lintah, sekumpulan penjenayah bertindak menyamun pula seorang wanita di Kampung Pak Da Malik, tidak jauh dari rumah mangsa pertama kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

Mangsa kedua, penghuni rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Rafeah Abd Gani, 47, disamun ketika menyapu sampah di halaman rumahnya.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kerugian besar kerana gelang tangan yang disamun penjenayah terbabit adalah emas tiruan.

Namun begitu, dia tetap trauma berdepan saat cemas dikerjakan dua lelaki tidak dikenali itu yang berusaha mengambil barang kemasnya kerana menyangka ia  adalah emas.

Menurut Rafeah, sebelum kejadian, dia sedang menyapu sampah di hadapan rumah dan tiba-tiba berhenti sebuah kereta Perodua Viva seakan warna biru atau kelabu berhenti di tepi jalan raya berdekatan rumahnya.

“Kereta tersebut kemudian buat pusingan U dan masuk ke laman rumah saya, tapi pemandu dan penumpang tidak keluar dari kereta.

"Saya tak pasti ada berapa orang dalam kereta kerana cermin gelap,” katanya.

Pada awalnya, dia menyangka kereta tersebut berhenti kerana ingin bertanya arah kerana sering kali orang ramai berhenti bertanya tempat sebelum ini.

“Selepas agak lama dalam kereta, keluar dua penumpang lelaki dan salah seorang arahkan saya panggil anak lelaki.

“Dia kata 'panggil anak jantan’, jadi saya terus panggil dua nama anak saya yang berada di dalam rumah,” katanya.

Sebaik mendengar Rafeah memanggil nama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun, salah seorang penjenayah bertindak menutup mulut mangsa dan memegangnya, manakala seorang lagi bertindak menarik gelang yang dipakai pada tangan sebelah kiri.

Jeritan Rafeah didengari salah seorang anak lelakinya yang berusia 16 tahun, manakala penjenayah yang berjaya menyamun gelang tangan mangsa melarikan diri ke arah kereta.

“Anak saya sempat pukul belakang badan lelaki itu dengan batang penyapu dan cermin kereta menyebabkan batang penyapu patah.

“Kereta dipandu seorang lagi lelaki yang sedia menunggu di dalam kereta dan mereka melarikan diri ke arah Jertih,” katanya.

Rafeah bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan dan kerugian kerana dia memang tidak mempunyai barang kemas.

Berikutan itu, mangsa tidak membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Setengah jam sebelum itu, lelaki sama dipercayai cuba menyamun seorang wanita warga emas dekat Sekolah Kebangsaan Alor Lintah, namun gagal melarikan rantai leher dan gelang yang dipakai mangsa apabila mangsa menjerit menyebabkan suaminya keluar dari dalam rumah, selain dilihat jiran mangsa.
--SINAR
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger