Home »
Kemalangan
» Kerani IPD Setiu maut nahas
Kerani IPD Setiu maut nahas
Written By Unknown on Wednesday, 6 August 2014 | 17:13
SETIU - Seorang kerani kewangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Setiu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat simpang kilang sawit Chalok, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Noor Azliza Puteh, 29, meninggal dunia kira-kira jam 10.45 malam kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Setiu akibat kecederaan parah di bahagian dalaman dan badan.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 22 bulan itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Mohd Safuan Sulaiman, 30, yang berada bersama mangsa sejak dia dimasukkan di hospital tersebut.
Kata Mohd Safuan, dia yang sedang bekerja di Paka, Dungun bergegas ke Hospital Setiu sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa isterinya.
Katanya, dia sempat berjumpa dengan isterinya ketika isterinya itu menerima rawatan di hospital.
“Saya bersyukur kerana berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, arwah isteri masih sedar. Mata dan tangannya masih bergerak, walaupun dia tidak boleh memberi maklum balas, tetapi saya tahu dia sedar akan kehadiran saya dan ahli keluarga lain.
“Walaupun amat sedih dengan pemergiannya, tetapi saya reda kerana apa yang ada di muka bumi ini adalah pinjaman dan sudah sampai masa arwah dipanggil pulang,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Belukar Sukai, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menaiki Perodua Viva, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Belukar Sukai, Kuala Terengganu dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.
Menurut beliau, sebaik tiba di simpang kilang sawit Chalok, sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan, dipercayai memotong di garisan berkembar sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.
“Mangsa dan pemandu serta penumpang Proton Wira dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.45 malam ketika menerima rawatan.
“Pemandu kereta Pronton Wira berusia 23 tahun dan penumpangnya berusia 19 tahun hanya cedera ringan,” katanya.
Kata Ab Rahman, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana sebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.
Labels:
Kemalangan
Post a Comment