Jabi bakal jadi hab sate Terengganu
Written By Unknown on Monday, 4 August 2014 | 18:08
BESUT - Pekan Jabi bakal menjadi hab Sate di Terengganu apabila gabungan pengusaha sate di kawasan tersebut di bawah satu jenama, menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, setakat ini urusan dan usaha ke arah pergabungan beberapa pengusaha sate di pekan Jabi hampir 70 peratus selesai.
Menurutnya, proses itu membabitkan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) untuk memastikan sate bakal menjadi ikon Dun Jabi.
“Apabila menjadi kenyataan kelak, akan wujud gabungan di bawah satu jenama, imej dan perkhidmatan,” katanya.
Kata Mohd Iskandar lagi, maklum balas daripada pengusaha sudah diperoleh termasuk membincangkan mengenai tiga perkara utama iaitu imej, jenama dan menyelaraskan harga yang boleh dinikmati pelanggan.
Menurutnya, reka bentuk baharu akan diadakan supaya premis dan kemudahan lain yang disediakan pengusaha, menarik serta memberi keselesaan kepada pengunjung.
“YPUT akan bantu bina imej pengusaha sate dengan peruntukan antara RM5,000 hingga RM8,000 supaya sate Jabi akan menjadi satu lagi tarikan ke Besut dan Setiu.
“Bila selesai, semua pengusaha akan menggunakan satu jenama sahaja iaitu Sate Jabi, tetapi nama pemilik kekal, malah kita mempunyai sasaran agar Sate Jabi dapat dipasarkan ke luar termasuk di calet, resort, hotel dan pengusaha makanan lain dengan pakej perkhidmatan yang standard,” katanya.
--sinar
Labels:
Semasa
Post a Comment