Abdul Khalid tidak akan berundur
Written By Unknown on Thursday, 24 July 2014 | 02:35
KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan sekali lagi tidak akan berundur ataupun melepaskan jawatannya meskipun mendapat desakan pucuk pimpinan parti.
Adun Pelabuhan Klang itu turut berjanji dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bekerja sehingga khidmatnya tidak diperlukan lagi sebaik sahaja mandat sebagai menteri besar berakhir.
“Saya sendiri sudah berkata kepada baginda tuanku untuk bekerja sebaik mungkin sehingga habis penggal...bahkan sudah keluarkan kenyataan sebelum ini bagi mana-mana pihak yang mahu saya berundur, kena patuh enakmen.
“Saya tegaskan, baginda tuanku memandang serius perkara ini dan yang paling penting baginda mahu pentadbiran yang amanah, teguh dan bertanggungjawab untuk rakyat Selangor,” katanya yang enggan mengulas ‘perbincangan’ yang dibuat bersama Sultan Selangor pada majlis berbuka puasa semalam.
Terdahulu, Abdul Khalid mengingatkan parti politik yang diwakilinya supaya menggunakan saluran betul dalam usaha untuk menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar Selangor.
“PKR tidak seharusnya membelakangkan enakmen dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, khususnya mengenai tatacara pelantikan atau penggantian menteri besar.
“Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.
“Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai menteri besar,” katanya.
Labels:
Politik
Post a Comment